Jumaat, 4 September 2009

Jutawan Faqir

Salam kehambaan buat semua.............

Segala puji-pujian buat Allah Tuhan yang membangunkan langit-langit tanpa bertiang, salawat dan salam ke atas hamba yang terpilih Muhammad yang amat masyhur di segenap alam, dan juga ke atas ahli keluarganya serta sahabat-sahabatnya yang faqir lagi memperhambakan diri.............

Sebenarnya inilah kali pertama saya melibatkan diri di dalam alam blog, sememangnya saya kurang pengalaman dan teramat jahil tentang alam ini. Desakan hati yang memberi kekuatan kepada saya untuk mencuba, dan alhamdulillah saya dah pun mencuba dan memulakannya.

Saya tak tau apa topik yang hendak saya nyatakan di sini, masih dalam keliru dan bingung tentang keajaiban teknologi dunia yang semakin canggih ini. Itulah kebesaran Allah dalam mentajallikan ilmuNya kepada sesiapa yang dikehendaki, atau dengan kata lain, begitulah antara cara Allah memperkenalkan diriNya yang bersifat ilmu itu.

Dari sudut ketuhanan, sifat ilmu bagi allah itu adalah qadim kerana Allah adalah nama bagi zat yang wajibal wujud, yang tiada seumpama bagiNya. Dari segi kehambaan pula, sifat ilmu yang dimiliki manusia itu adalah tajalliNya semata-mata. Tajalli ini meliputi tajalli sifat, tajalli asma' dan tajalli aathar. Manakala tajalli zat pula adalah sesuatu yang tinggi yang allah berikan kepada sesiapa yang dikehendakinya, setelah mana hati si hamba ini putih bersih dari segala yang baharu, yang ada di dalam hatinya hanyalah Allah. Saya tak ingin berbicara tentang tajalli-tajalli ini yang mungkin akan mengelirukan pembaca sekalian. Cukuplah sebagai muqaddimah dengan apa yang telah saya nyatakan tadi.

Dalam konteks hamba, sifat ilmu adalah ta'luk bagi qalbi (hati), tempat yang sirr (rahsia), tempat tumbuh ilmu dan hikmah, tempat lahir baik dan jahat. Ilmu yang telah sebati di dalam jiwa, akan meruntun hati tersebut dengan melahirkan azam yang akan membuatkan seseorang itu tak senang duduk selagi mana azam itu tidak dizahirkan dengan perbuatan. Inilah rantaian antara ilmu, azam (pembuktian ilmu yang sebati di dalam jiwa) dan tahqiq (pembuktian azam melalui perbuatan). Seandainya sesuatu perbuatan itu dilakukan tanpa ilmu, bolehlah dikatakan bahawa perbuatan itu hanyalah peniruan semata-mata, walaupun zahirnya seperti perbuatan, tetapi bukanlah perbuatan yang hakiki. Dewasa ini dan di akhir zaman ini, ramai yang melakukan sesuatu atas dasar peniruan semata-mata, dan sememangnya golongan ini tidak mengaku mereka meniru, bahkan mengakui mereka melakukannya dengan ilmu, ilmu yang didapati dengan peniruan, bukannya ilmu yang sebati di dalam jiwa. Maaflah andai kenyataan ini mengguris hati pembaca, tetapi atas sifat kasih sayang sesama insan, saya beranikan diri untuk menyatakannya juga. renung-renungkanlah.............

Dengan pengalaman saya yang tak seberapa ini, baru berusia 32 tahun, tetapi saya dapati memang inilah kenyataan yang berlaku dewasa ini. Saya mengaku bahawa saya pernah hanyut di lautan duniawi yang banyak tipu daya ini, tetapi bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana di atas sifat ar-rahimNya, Dia memberikan saya peluang untuk menjejaki ilmu yang semakin terhakis ini. Maka, yakinlah saya dengan ungkapan di sebalik kepahitan itu, pasti ada kemanisan. Kemanisan yang tak terungkap dengan kata-kata, yang tak terluah dengan bicara, itu yang mampu saya nyatakan. Untuk menghuraikannya, saya buta lagi jahil dalam penghuraian ini.

Saya pernah berjumpa dengan seorang ustaz yang juga merupakan pensyarah dan pengetua sebuah pusat pengajian Islam. Sememangnyalah belian mempunyai lulusan agama yang tinggi. Saya diajukan soalan-soalan berkaitan agama. Dan alhamdulillah, Allah melapangkan hati saya untuk menjawab segala persoalan beliau.

Tetapi bila beliau mula menyentuh bab khilafiah, maka perbahasan pun bermula. Saya dengan jawapan saya tetapi disangkal oleh beliau dengan hujah beliau yang seakan-akan ilmiah. Saya teruskan lagi perdebatan itu sehinggalah beliau mula menyentuh bab niat. Maka perbahasan ini menjadi semakin panas. Saya memang mengaku yang saya ini teramat jahil dan tidak mempunyai apa-apa tauliah atau lulusan berbanding dengan beliau. Tetapi bila saya bertanyakan tentang takrif niat, beliau hanya menyatakan dari segi kefahamannya semata-mata, dan bukannya atas takrifan ilmu. Bila saya mula menjelaskan tentang takrif niat iaitu ilmu yang sebati di dalam jiwa dan dibuktikan dengan perbuatan, beliau mula terdiam. Pada masa ini, di dalam lubuk hati ini terpantul sifat sayang sesama anak Adam, saya menegur beliau dengan menyatakan, “ Tak usahlah ustaz membicarakan sesuatu yang ustaz rasa ustaz tahu tetapi kenyatannya ustaz tak faham!!! Pergilah belajar dan mendalami sesuatu yang hendak kita perkatakan, agar kita tak terbabas atau terlencong daripada topik atau isu yang diperbincangkan” (Teguran ini seakan-akan kasar dan tak beradab, terpulang kepada masing-masing untuk membuat penilaian).

Isunya di sini, tentang ilmu yang meliputi segala sesuatu. Bila mana kita memperkatakan sesuatu yang seolah-olah kita rasakan di atas nama ilmu, berhati-hatilah saudara-saudaraku sekalian. Istilah ‘seakan-akan’ itu menunjukkan yang kita tidak yakin dengan sesuatu yang kita katakan ilmu itu. Jadi, adakah itu ilmu? Kalau saya katakan bahawa itu bukanlah ilmu walaupun seakan-seakan ilmu, apa pendapat saudara-saudara sekalian? Ilmu ini akan membentuk keyakinan di dalam lubuk hati iaitu jiwa ( bukannya dalam hati), yang akan mendesak anggota badan untuk melaksanakan apa yang dinyatakan di dalam lubuk hati itu ( inilah yang dikatakan keazaman) dengan menzahirkan melalui perbuatan (tahqiq).

Contohnya kita mempelajari sesuatu tentang kebajikan seperti sedekah, kita tahu siapa yang layak untuk menerima sedekah ini, dan kita amat yakin dengan apa yang kita pelajari bersandarkan kepada nas-nas al quran dan al hadith. Ilmu ini telah sebati di dalam lubuk hati (jiwa) kita dan kita mampu berbicara tentangnya dari segala aspek sekali pun mengenainya dengan izinNya. Pada suatu hari, kita berjalan-jalan di pasar ramdhan dan terpandang akan seorang hamba Allah yang meminta sedekah dalam keadaan yang amat dhaif. Maka jiwa yang hidup dengan ilmu ini akan membisikkan kepada hati, dan terus kepada akal untuk mengarahkan anggota badan yang lain memberi sedekah. Seandainya sedekah tidak diberikan ketika ini, perasaan gelisah mula menguasai diri. Inilah amalan yang mengikut rukun niat tadi yang terdiri daripada ilmu, azam dan tahqiq. Jadi, sedekah yang diberikan tadi bukanlah di atas dasar meniru orang lain, tetapi di atas bimbingan ilmu yang telah sebati di dalam jiwa. Untuk menilai seseorang itu di dalam amal perbuatannya samada meniru atau di atas ilmu, adalah bergantung kepada keadaan. Seandainya Allah membukakan hatinya untuk memperolehi ilmu dengan tindakan manusia yang seperti itu, maka dia dapat menilai dan beroleh ilmu yang menjadi pedoman untuk kehidupannya. Secara khususnya, kita yang patut menilai diri kita akan hakikat sebenar kedudukan kita ini, samada masih di dalam kekeliruan atau keyakinan. Andai kekeliruan yang menguasai kita, iblislah yang akan berdamping dengan kita (wal’iyazubillahi min zalik).

Sekian dahulu untuk kali ini, moga kita semua akan mendapat manfaat daripada apa yang dituliskan ini. Semua yang baik itu adalah dari Allah semata-mata, dan yang buruk itu dari diri saya yang lemah dan tak punya apa-apa. Maka semestinyalah saya mengharapkan bimbingan daripadaNya semata-mata. Segala komen dari saudara-saudara sekalian amatlah dialu-alukan dalam kita memantapkan modal insan dalam menuju matlamat yang satu, matlamat penciptaan manusia, iaitu mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa. Wallahu a'lam.............

Sekian, salam.............

jutawanfaqir.blogspot.com